OKTOBER 2026

PELABUR THAILAND, JEPUN MINAT LABUR HINGGA RM1 BILION DALAM INDUSTRI PETROKIMIA SARAWAK


KUCHING, 10 Oktober 2026 - Dua kumpulan pelabur berpangkalan di Thailand dan Jepun menunjukkan minat untuk melabur sehingga RM1 bilion dalam industri petrokimia Sarawak, susulan pertemuan dengan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Bangkok bulan lalu.

Abang Johari berkata, pelabur berkenaan tertarik dengan kelebihan Sarawak dari segi bekalan tenaga rendah karbon serta sumber minyak dan gas yang boleh menyokong pembangunan industri petrokimia.

“Bulan lepas saya telah berada di Bangkok, Thailand dan sempat mengadakan pertemuan dengan dua kumpulan pelabur yang berpangkalan di Thailand dan Jepun.

“Pelabur-pelabur ini mengenali kekuatan Sarawak dari segi tenaga rendah karbon dan sumber minyak dan gas negeri ini dan mereka amat berminat untuk melabur sehingga RM1 bilion untuk menghasilkan produk-produk petrokimia,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Istiadat Perarakan dan Rapat Raksasa sempena Sambutan Perayaan Hari Lahir Ke-80 Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar di Padang Merdeka, Kuching pada Sabtu.

Beliau berkata, Sarawak merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM11.2 bilion bagi separuh pertama 2026, mencerminkan keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Sarawak.

Menurutnya, pembangunan industri petrokimia merupakan antara pendekatan untuk meningkatkan nilai sumber asli Sarawak melalui penghasilan produk hiliran, selaras dengan transformasi ekonomi di bawah PCDS 2030.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pelaburan yang masuk perlu turut memberikan manfaat kepada syarikat tempatan dan ekonomi rakyat.

“Pelaburan yang mengalir masuk ke Sarawak mesti dapat dihubungkan dengan syarikat tempatan dalam bidang kejuruteraan, penyelenggaraan, logistik, teknologi, pembuatan dan perkhidmatan profesional untuk menjana ekonomi tempatan,” katanya.

Beliau berkata, penglibatan syarikat tempatan dalam rantaian aktiviti industri penting bagi memastikan peluang ekonomi daripada pelaburan dapat dinikmati secara lebih meluas.

“Sudah pasti peningkatan ekonomi tempatan akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat kita dan ini bermakna pendapatan isi rumah juga akan meningkat,” katanya.

Sarawak terus memberi tumpuan kepada pembangunan sektor baharu seperti semikonduktor, pembuatan termaju, tenaga hijau, hidrogen dan metanol sebagai sebahagian usaha mempelbagaikan ekonomi serta meningkatkan nilai tambah industri wilayah.